Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Mohamad Zainal Abdullah berkata, mereka yang ditahan ialah  tujuh suspek lelaki Orang Asli berusia 24 hingga 36 tahun.

Menurutnya, kesemua mereka ditahan dalam tangkapan berasingan antara 29 Januari hingga Sabtu lalu di Kampung Chenderung Kelubi di Sungai Galah, Tanjung Tualang.

Beliau berkata, turut ditahan ialah seorang  anggota tentera berpangkat Sarjan berusia 34 tahun yang bertugas di Perlis diberkas di pekarangan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Arau semalam.

"Kesemua mereka ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Pemeriksaan juga mendapati mereka tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

"Ketujuh- tujuh suspek masih ditahan reman manakala anggota tentera yang ditangkap semalam akan dipohon reman hari ini untuk siasatan," katanya di sini hari ini.

Mohamad Zainal memberitahu, dalam kejadian pada 6 April 2013 itu, mayat Mohd. Azrin Mohd. Arif, 36, ditemukan terapung oleh orang awam di kawasan lombong di Kampung Gajah.

Beliau berkata, hasil pengecaman oleh bapa mangsa di Hospital Changkat Melintang di sini mengesahkan mayat itu adalah anaknya.

"Bapa mangsa mengesyaki anaknya dibunuh sehari sebelum penemuan mayat ekoran panggilan telefon  anaknya tidak dijawab," katanya. - UTUSAN ONLINE