Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Suzaimi Mohamad berkata, dua lelaki yang berusia 25 tahun itu ditahan di hadapan sebuah kedai serbaneka di Bandar Baru Kota Harmoni di sini pada pukul 4.30 petang.

Beliau memberitahu, penahanan tersebut membawa kepada tangkapan dua lagi suspek di Kampung Alor Pulai, Jelawat, Bachok pada malam hari yang sama.

“Dalam serbuan di hadapan kedai serbaneka itu, kita telah memeriksa sebuah kereta Perodua Kembara yang dinaiki dua lelaki dan menjumpai satu bungkusan kertas di dalam ruang penyimpanan barang di bahagian penumpang hadapan.

“Hasil pemeriksaan, kita menemukan

lima papan foil berwarna merah yang bertulis Erimin 5 berjumlah 50 biji dan tiga peket biru yang mengandungi 600 biji pil kuda,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Bahagian Pengurusan Daerah, Asisten Superintenden Mohd. Hanafi Jaafar dan Ketua Bahagian Narkortik Daerah, Mohd. Faisal Abd. Aziz.

Tambahnya, susulan itu, pihaknya turut menahan seorang lelaki berusia 25 tahun dan seorang perempuan berumur 24 tahun di dalam sebuah kereta Proton Wira kira-kira pukul 9.30 malam.

“Hasil pemeriksaan, kita menemukan lima peket plastik yang mengandungi 980 biji pil kuda,” katanya.

Katanya lagi, keempat-empat suspek tersebut adalah penganggur dan dipercayai telah menjalankan pengedaran dadah di beberapa daerah.

“Hasil ujian saringan air kencing, hanya seorang lelaki yang didapati positif dadah jenis methamphetamine.

“Keempat-empat suspek itu ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. - UTUSAN ONLINE