Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu, suspek yang berusia 32 dan 41 tahun itu ditahan dalam serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik daerah ketika mereka berada di dalam sebuah kereta Toyota Avanza milik suspek.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner M. Chandra berkata, semasa pasukan serbuan menghampiri kenderaan tersebut dan memperkenalkan diri sebagai polis tiba-tiba seorang lelaki dari bahagian penumpang hadapan kereta cuba melarikan diri.

“Bagaimanapun suspek berjaya ditahan setelah berlaku pergelutan dengan pasukan serbuan termasuk suspek yang berada di bahagian pemandu.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas pemandu kenderaan tersebut, pihak polis merampas sebungkus plastik hitam yang mengandungi dua peket plastik lutsinar berisi hablur jernih yang disyaki dadah syabu seberat 100 gram di tangan kanan suspek,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Chandra memberitahu, hasil ujian saringan awal air kencing terhadap kedua-dua suspek mendapati lelaki tempatan negatif dadah manakala suspek warga asing positif syabu.

“Pihak polis masih giat menjalankan siasatan bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan punca bekalan dadah yang telah dirampas.

“Kedua-dua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - UTUSAN ONLINE