MAZLAN MANSOR
MAZLAN MANSOR

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, perkembangan terbaharu itu memboleh­kan pihaknya memanggil wanita terbabit, Datin Rozita Mohamed Ali, 44, menghadiri pro­siding itu seperti mana yang ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi pada 29 Mac ini.

Jelas beliau, ketika ini pihak­nya menerima notis dikeluarkan mahkamah untuk memastikan kehadiran wanita tersebut dan ­usaha itu sedang diurus­kan menerusi peguam yang me­wa­kilinya.

“Pihak polis masih berurusan dengan peguam baharu wanita itu dan kita akan menyerahkan notis dikeluarkan kepada mahkamah itu kepadanya.

“Kita belum mengesannya, tetapi kita dapat berhubung dengan peguamnya,” katanya ringkas menerusi mesej pesanan ringkas.

Kelmarin, Mahkamah Tinggi di sini memberi tempoh selama seming­gu kepada pihak pendakwaan bagi mengesan Rozita supaya tampil menghadiri prosiding se­­makan hukuman bon berkelakuan baik berhubung kes menyebabkan kecederaan parah ke atas pembantu rumah warga Indonesia pada 2016.

Perintah itu dikeluarkan Pesuruhjaya Keha­kiman, Datuk Seri Tun Abd. Majid Tun Hamzah selepas responden, gagal hadir ke mahkamah untuk mendengar permohonan semakan itu yang sepatutnya berlangsung pada Rabu lalu.

Malah, Abd. Majid turut me­netapkan 29 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula permohonan semakan hukuman berkenaan.