Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohd. Ali Thamby berkata, ia susulan laporan polis yang dibuat MyPPP berhubung dakwaan itu di Balai Polis Sungai Senam pagi tadi.

“Ya, kita ada menerima lima laporan dari ahli MyPPP dan tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung kejadian itu dan siasatan mengenainya akan diteruskan,” katanya di sini hari ini.

Menurut Mohd. Ali, pihaknya juga akan meneruskan siasatan terhadap laporan yang dibuat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berkenaan dan teman wanitanya meskipun wanita terbabit dikatakan sudah menarik balik laporan polis tersebut.

Pagi tadi, Ketua Pemuda MyPPP Perak, Mohamed Nor Fadhzil Sahul Hamid bersama tiga NGO membuat laporan polis berhubung dakwaan tersebut.

Laporan polis berkenaan dibuat di Balai Polis Sungai Senam di sini pada kira-kira pukul 10.30 pagi.

Dalam sidang akhbarnya selepas itu, Mohamed Nor Fadhzil berkata, selain didakwa memukul teman wanitanya, blog itu juga mendakwa ADUN dari Perak itu yang sudah berkahwin dan mempunyai anak turut mencuri wang serta barangan peribadi teman wanitanya.

“Pada pandangan saya, jika benar perkara itu berlaku, sebagai wakil rakyat tidak boleh buat tindakan begini khususnya kepada wanita, terutama dalam undang-undang negara kita sekarang yang mempertahankan wanita daripada keganasan.

“Justeru, kami hari ini membuat laporan polis meminta pihak terlibat menjalankan siasatan sama ada tuduhan itu benar atau salah,” katanya.

Mohamed Nor Fadhzil turut mengakui pihaknya tidak mempunyai sebarang bukti berhubung dakwaan itu sebaliknya hanya mengetahui perkara berkenaan selepas membaca blog Novandri.blogspot.com malam tadi. - UTUSAN