Malah kecekapan pasukan khas ditubuhkan bagi mengesan suspek turut menemukan kembali sebahagian wang tebusan berjumlah RM175,400 daripada RM300,000 yang dibayar bapa mangsa sebelum itu.

Ketua Polis negeri, Datuk Hasnan Hassan berkata, kesemua suspek berusia antara 17 hingga 36 tahun itu ditahan dalam enam serbuan di sekitar Johor Bahru dan dua di Pulau Pinang, 6 September lalu.

“Suspek terlibat pada mulanya meminta wang tebusan sebanyak RM3 juta daripada bapa mang­sa yang juga peniaga barangan terpakai serta mengugut untuk mencederakan atau membunuh mangsa sekiranya tuntutan itu tidak dipenuhi.

“Bagaimanapun atas kebijaksa­naannya membuat rundingan, wang tebusan diminta berjaya dikurangkan daripada RM3 juta kepada RM300,000,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.

Hasnan berkata, suspek kemudiannya menghubungi bapa mang­sa pada pukul 8.30 pagi, 5 September lalu dan mengarahkannya ke Johor Bahru untuk menyerahkan wang tebusan.

Katanya, selepas penyerahan wang tebusan dibuat, polis telah menyerbu enam lokasi di Johor Bahru pada kira-kira pukul 10 malam dan menahan lapan orang.

“Pada masa sama, polis turut menyelamatkan mangsa yang ketika itu disembunyikan di Butterworth, Pulau Pinang dan menahan dua lagi suspek.

“Ketika diselamatkan mangsa yang berada di tempat duduk belakang sebuah kereta jenis Pe­rodua Myvi dalam keadaan trauma dengan tangan diikat serta mata ditutup dengan kain. Bagaimanapun, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan,” ujarnya.

Tambah beliau, hasil siasatan lanjut, polis menahan dua lagi suspek yang terlibat dalam kes itu di kawasan Butterworth.

Kata Hasnan, lima daripada suspek telah dibebaskan sema­lam dengan jaminan polis, ma­nakala tujuh lagi ditahan reman serta sedang menunggu arahan lanjut daripada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk pendakwaan mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961.

“Kes ini merupakan kejayaan besar kepada polis kerana telah berjaya menangkap kesemua suspek yang terlibat hanya dalam tempoh lima hari dan mangsa berjaya diselamatkan tanpa sebarang kecederaan,” jelasnya.