Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd. Taufik Maidin berkata, hasil pemeriksaan forensik mendapati mayat itu adalah seorang wanita berusia lingkungan 30-an.

Katanya, identiti mangsa juga masih belum diketahui kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemukan.

"Pemeriksaan ke atas mayat wanita yang lengkap berpakaian itu juga tidak menemui sebarang tatu atau parut suntikan BCG.

"Kita juga masih menyiasat kes tersebut sama ada mempunyai unsur jenayah atau tidak," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, penduduk Orang Asli di kawasan Pos Hendrop di sini gempar apabila salah seorang penduduk, Haris Rami, 47, menjumpai mayat berulat selepas terhidu bau busuk ketika memasuki lorong berbatu menuju ke kebun sayur.

Jarak antara tempat mayat dan kebun sayur itu adalah lebih kurang 30 meter. - UTUSAN ONLINE