Perkara itu disahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Jelas beliau, siasatan dalaman telah dijalankan bagi menyelidik perkara tersebut oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) pada tahun 2016.

“Dalam tempoh yang sama pada 2016, akaun yang sama diaktifkan bagi merancang untuk pengajian Sarjana anak perempuannya di Australia juga,” kata kenyataan tersebut hari ini.

Tegas Mohamad Fuzi, Wan Ahmad Najmuddin turut berjaya menunjukkan dokumen yang membuktikan dana tersebut dari penjualan rumahnya di Shah Alam, yang juga pada masa yang sama bernilai RM700,000 (AUD$260,770).

Kata beliau, dana tersebut kemudiannya diamanahkan kepada rakan rapatnya bagi membuat transaksi ke dalam akaun bank di Australia.

“Wan Ahmad Najmuddin setakat ini berjaya memberi kesemua dokumen berkaitan bagi membuktikan sumber dana tersebut dan beliau juga menepati syarat keperluan untuk memperoleh akaun luar negara, untuk tujuan membiayai pendidikan anak-anaknya di Australia,” katanya.

Oleh itu menurut Mohamad Fuzi, tuduhan oleh portal berita Australia, The Sydney Morning Herald yang mengatakan sumber duit akaun tersebut datang dari hasil yang boleh dipertikaikan atau Wan Ahmad Najmuddin terlibat dengan kesalahan yang boleh didakwa adalah tidak berasas sama sekali. - UTUSAN ONLINE