Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Othman Nanyan berkata, berdasarkan maklumat awam kira-kira pukul 5.30 pagi pihaknya mengesan sebuah lori tiga tan jenis Isuzu dalam keadaan mencurigakan.

“Polis mengarahkan pemandu lori berusia 34 tahun memberhentikan kenderaannya namun suspek enggan dengan meningkatkan kelajuan dan cuba menghimpit kereta pasukan operasi.

“Bagaimanapun, pemandu lori itu memberhentikan kenderaan selepas diekori dan diberikan amaran oleh pasukan pegawai dan anggota kami,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Menurut Othman, pemandu lori itu kemudiannya diberkas dan pemeriksaan lanjut dijalankan terhadap lori terbabit membawa kepada penemuan 280 kotak besar mengandungi rokok seludup pelbagai jenis.

Katanya, lori dipandu lelaki itu juga disita dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
 - UTUSAN ONLINE