Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Sun Teoh Tia berkata, kesemua rokok berjenama Canyon yang dipercayai di­seludup dari luar negara itu dirampas semasa sedang dibawa menggunakan sebuah lori dipandu seorang suspek lelaki berumur 42 tahun.

Menurutnya, bertindak atas maklumat penyeludupan rokok tidak sah oleh Unit Risikan Marin, pihak polis kemudiannya menahan lori muatan tiga tan tersebut di simpang Taman Permatang Pasir Permai, Padang Temu, di sini pada pukul 11 malam, 3 Disember lalu.

“Hasil pemeriksaan di tempat kejadian mendapati sebanyak 240 kotak besar berisi 12,000 karton yang setiap satunya mengandungi 10 kotak kecil rokok jenama tersebut dalam lori ber­kenaan. Setiap kotak rokok itu pula me­ngandungi 20 batang rokok dan ke­semuanya berjumlah 2.4 juta batang.

“Selain itu, polis turut merampas dua unit walkie talkie, dua telefon bimbit, kunci serta lori jenis Daihatsu yang digunakan untuk membawa muatan bahan seludup berkenaan,” katanya da­lam sidang akhbar di sini hari ini.

Hadir sama Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 2, Asisten Komisioner Paul Khiu Khom Chiang.

Jelas Teoh Tia, kesemua rokok tidak sah itu dipercayai untuk dipasarkan di sekitar Melaka serta beberapa negeri lain disebabkan kuantitinya yang besar namun siasatan lanjut akan dijalankan bagi memastikan perkara itu.

“Kita percaya kesemua 120,000 kotak rokok yang diseludup melalui jalan laut itu diambil oleh pemandu berke­naan dari kawasan Alai, Duyong di sini, sebelum dia ditahan pihak polis,” ujarnya.

Ujar Teoh Tia, siasatan awal mendapati suspek berasal dari Banting, Selangor itu tidak memiliki sebarang rekod jenayah dan pertama kali terlibat dalam kes tersebut.

Melalui soal siasat katanya, peman­du lori itu diupah sebanyak RM400 untuk membawa barangan seludup berkenaan oleh pihak ketiga dan ken­deraan yang digunakan juga kepu­nya­an sebuah syarikat pengangkutan di Selangor.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 kerana me­ngangkut barang larangan atau belum lulus Kastam,” tambahnya.