Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, dalam serbuan pertama di Kampung Gual Periok, Rantau Panjang pada 6 Mac lalu pihaknya berjaya menahan sepasang suami isteri berusia 32 dan 34 tahun.


Menurutnya, penahanan pasangan suami isteri itu membawa kepada penemuan 31 gram syabu dan 70 biji pil kuda.


“Hasil saringan air kencing mendapati lelaki berkenaan positif dadah dan mempunyai satu rekod jenayah lampau berkait dadah.


“Manakala isterinya yang merupakan warga negara Thailand negatif dan tidak mempunyai rekod jenayah,” katanya di sini hari ini.


Tambahnya, kes disiasat bawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.


Abdullah memberitahu, serbuan kedua di Kampung Limbat, Bunut Susu pada 8 Mac pihaknya berjaya memberkas seorang warga emas dan merampas tiga gram herion berjumlah RM2,000.


Katanya, siasatan awal mendapati warga emas berkenaan merupakan pengedar dadah secara kecil-kecilan di kawasan sekitar. -UTUSAN ONLINE