Rampasan itu dibuat hasil tangkapan ke atas seorang lelaki berusia 47 tahun selepas polis yang mendapat maklumat menahan kereta jenis Proton Wira yang dipandunya di Jalan Bertam Perdana di sini 10 malam kelmarin.

Menurut sumber, ketika ditahan, turut ditemukan bersama lelaki itu adalah satu guni berisi 10 bungkusan lutsinar yang setiap satu mengandungi daun kering disyaki ganja seberat 10.025 kilogram (kg) bernilai RM30,900.

Tambahnya, hasil penahanan ke atas suspek, polis kemudiannya menyerbu sebuah rumah di Paya Keladi Masjid di sini awal pagi semalam dan menemukan satu tong berisi 55 bungkusan ganja dengan anggaran berat 10kg.

Ujarnya, serbuan yang dibuat juga menemukan kotak yang berisi 17 paket lutsinar yang berisi dadah dipercayai heroin dan satu bekas polisterin yang mengandungi tujuh paket plastik dadah dipercayai syabu dengan nilai keseluruhan sebanyak RM143,046.

"Hasil siasatan lanjut, polis memeriksa sebuah pondok berhampiran rumah itu pada pukul 7 pagi semalam dan menemukan kotak dan guni yang berisi 87 bungkusan plastik daun kering disyaki ganja seberat 520 kg dengan nilai anggaran RM1.6 juta," katanya.

Difahamkan sidang akhbar berkaitan tangkapan dan penemuan itu akan dibuat Ketua Polis negeri, Datuk A. Thaiveegan esok. - UTUSAN ONLINE