Dalam kejadian pukul enam petang itu, kedua-dua suspek yang berusia lingkungan 35 dan 39 tahun ditahan ketika menaiki kereta jenis Honda Insight Hibrid hitam oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Polis Bertam, Gua Musang yang melakukan operasi sekatan di situ.

Ketua Polis negeri, Datuk Hasanudin Hassan berkata, pemeriksaan lanjut ke atas kereta tersebut membawa kepada penemuan mendapati 94 ketulan disyaki ganja mampat  di dalam but kereta.

Turut ditemukan katanya, satu botol plastik lutsinar berisi cecair hitam sebanyak 200 milimeter (ml) disyaki ubat batuk yang disorok di bawah tempat penyimpanan barang di hadapan kereta serta wang tunai sebanyak RM4,600.

"Kita turut menemukan dua plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu di dalam poket seluar suspek.

"Suspek mengaku mengambil bekalan dadah tersebut daripada seorang individu di pangkalan haram Lubuk Gong, Rantau Panjang. - UTUSAN ONLINE