Bertindak atas hasil maklumat dan risikan, suspek berusia 30 tahun ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri di Plaza Tol Sungai Petani (Utara) ketika membawa dadah itu di dalam sebuah kereta.

Semasa ditahan pada pukul 11.30 malam, suspek yang belum berkahwin dan bekerja sebagai pembantu kedai barang, cuba melarikan diri sehingga berlaku pergelutan tetapi akhirnya dapat ditahan.

Menurut Ketua Polis Negeri, Datuk Zainuddin Yaacob, hasil pemeriksaan menemukan dadah-dadah berkenaan yang dipek dalam bungkusan bertulis sejenis teh Cina di bahagian but kereta berkenaan.

“Kejayaan terbesar dalam tempoh tiga bulan lalu ini adalah hasil kerjasama dan maklumat awam dan polis mengucapkan terima kasih,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Sementara itu, Zainuddin berkata, suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula 19 April lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati. - UTUSAN ONLINE