Lori berkenaan ditahan oleh pasukan trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas menerusi Ops Selamat 14 sempena sambutan Tahun Baru Cina kira-kira pukul 11.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Abdullah Mohammed Piah berkata, dalam operasi itu pihaknya turut menahan pemandu lori berkenaan yang berusia 32 tahun.

Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas lori itu membawa kepada penemuan 1.6 tan daun ketum hidup dan 1,500 botol ubat batuk.

"Rampasan ini membabitkan nilai berjumlah RM70,100. Siasatan awal mendapati daun ketum dan ubat batuk itu dibawa dari utara tanah air untuk ke Jertih, Terengganu.

"Saringan air kencing mendapati, suspek positif dadah dan mempunyai lima rekod jenayah lampau berkait dengan dadah," katanya pada sidang akhbar di IPD Pasir Mas hari ini.

 Abdullah memberitahu, kes tersebut disiasat bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

Katanya, kejayaan itu melonjakkan lagi semangat anggotanya untuk terus membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah dan penyeludupan daun ketum di jajahan ini.

Dalam perkembangan lain, Abdullah berkata, pihaknya berjaya merampas 52 gram syabu dan menahan dua lelaki berusia 31 serta 61 tahun di Kampung Pulai Chicha Tinggi. -UTUSAN ONLINE