Ketua Polis daerah, Superintenden Som Sak Din Keliaw berkata, ekoran itu polis percaya lori membawa muatan ais yang terlibat dalam nahas tersebut dipandu laju sehingga hilang kawalan merempuh van yang membawa mangsa ke kebun.

Menurutnya, pemandu lori ais berusia 21 tahun yang ditahan selama 24 jam sejak semalam baru bekerja tidak sampai sebulan dan mempunyai lesen memandu sah.

“Pemandu tersebut mempunyai empat rekod saman atas kenderaan miliknya sendiri melibatkan kesalahan tidak memakai topi keledar, tidak mempamer cukai jalan serta nombor plat tidak mengikut spesifikasi.

“Pemandu kereta Proton Iswara yang memandu tanpa lesen sah serta tiada cukai jalan dan insurans kenderaan akan disaman setelah polis merekodkan keterangannya. Hasil semakan juga mendapati dia mempunyai enam rekod saman termasuk memandu laju.

“Ketiga-tiga kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu akan dihantar ke Puspakom untuk pemeriksaan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah di sini hari ini.

Sementara itu, petugas dari Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros) juga kelihatan hadir di IPK Tapah untuk melakukan siasatan lanjut berhubung kejadian itu.

Terdahulu, polis mengesan sebuah lagi kenderaan yang terlibat dalam nahas kelmarin ekoran penemuan satu nombor plat kenderaan lain semalam ketika melawat semula lokasi kemalangan.

Polis berjaya mengesan pemilik nombor plat kenderaan tersebut iaitu kereta jenis Proton Iswara milik seorang lelaki berusia 47 tahun dari Langkap dekat sini. - UTUSAN ONLINE