Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Mohamad Zainal Abdullah berkata, suspek berusia 33 dan 34 tahun yang merupakan penganggur itu ditahan pada pukul 6 petang di Kampung Padang Gertak, Pulau Tiga.

Katanya, pemeriksaan pada kedua-dua suspek menemukan 24.65 gram dadah jenis heroin dan 5.27 gram methamphetamine yang dianggarkan bernilai RM1,500.

"Berlaku pergelutan antara suspek dan polis namun kedua-dua mereka akhirnya berjaya ditangkap dan dibawa ke balai untuk tindakan lanjut.

"Pemeriksaan pada lelaki berusia 34 tahun itu menemui dadah dipercayai heroin seberat 24.65 gram manakala methamphetamine seberat 5.27 gram pula dijumpai pada rakannya," katanya di sini hari ini.

Menurut Mohamad Zainal, pemeriksaan ujian saringan air kencing mendapati, kedua-dua suspek yang positif dadah itu aktif melakukan aktiviti pengedaran sejak lima bulan lalu.

"Mereka direman tujuh hari sehingga Ahad ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A (1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Sementara itu, beliau memberitahu, hasil usaha berterusan bagi membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah di daerah ini oleh Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah telah berjaya membuat tangkapan terhadap 104 individu bulan lalu.

Katanya, daripada jumlah itu, sembilan ditangkap kerana mengedar dadah manakala 34 orang ditahan dibawah Seksyen 12(2) iaitu memiliki dadah dan 23 ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) iaitu mengambil dadah.

"Selain itu 22 orang lagi ditangkap dibawah Seksyen 3 Akta Penagih Dadah 1983, lapan orang dituduh mengikut Seksyen 39C dan dua orang lagi ditahan dibawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK)," katanya. - UTUSAN ONLINE