Penahanan kesemua suspek berusia di antara 22 hingga 30 tahun itu dimaklumkan Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor hari ini selain menyatakan pihaknya hanya mengambil masa tidak sampai tempoh 24 jam selepas tiga daripada mereka melarikan lapan dulang barang kemas bernilai kira-kira 750,000 dari sebuah kedai emas di sebuah pasar raya di Kota Damansara kira-kira pukul 12.20 tengah hari, 8 Februari lalu.

Pada masa sama, beliau menyatakan pihaknya turut berjaya menemukan semula sebahagian barang kemas yang dicuri termasuklah merampas wang tunai yang kesemuanya bernilai kira-kira RM333,420 daripada suspek-suspek yang terlibat.

“Tangkapan pertama kita lakukan bermula pukul 11 malam pada 9 Februari lalu membabitkan dua orang suspek. Hasil pemeriksaan dan sosial siasat, kita kemudiannya berjaya menangkap sembilan lagi suspek termasuklah dalang kumpulan itu yang berusia 25 tahun.

“Selain itu, kita turut merampas sepucuk revolver jenis Smith & Wesson .38 bersama empat butir peluru termasuk satu kelongsong yang dipercayai digunakan dalam kes samun sebelum ini selain sebuah kereta jenis Perodua Myvi serta sebuah kereta jenis Nissan Almera,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini.

Katanya, kesemua suspek terbabit ketika ini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 16 Februari ini untuk siasatan di bawah Seksyen 395/397 kerana melakukan samun berkawan dan bersenjata.

Malah, penahanan kesemua anggota kumpulan penjenayah itu menurut Mazlan turut menyelesaikan kes samun di premis yang sama pada 2 November tahun lalu. - UTUSAN ONLINE.