Ketua Polis negeri, Datuk Seri Rosli Ab Rahman berkata, dalam kes pada 2016, pihaknya sudah melengkapkan kertas siasatan dan menghantarnya kepada timbalan pendakwa raya untuk pertuduhan.

“Kita dah hantar kertas siasatan kepada timbalan pendakwa raya untuk kes dibawa ke mahkamah. Mereka meneliti kes sama ada cukup bukti dan sebagainya sebelum pendakwaan dijalankan.

“Tetapi kes itu pada masa berkenaan diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) oleh timbalan pendakwa raya, mungkin atas alasan kekurangan bukti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Ibu pejabat Polis Kontinjen di sini hari ini.

Beliau mengulas dakwaan netizen dalam laman sosial yang seolah-olah memberi gambaran polis tidak mengambil tindakan sewajarnya terhadap wanita berkenaan dalam kes itu.

Dalam kejadian kelmarin, Muhammad Luthhakim disahkan meninggal dunia di HTAA dengan beberapa kesan lebam dan kecederaan lama dipercayai akibat didera ibu kandungnya.

Difahamkan, suspek pernah ditahan atas kes penderaan terhadap anaknya pada 2016 sebelum dibebaskan kerana kekurangan bukti untuk pendakwaan. - UTUSAN ONLINE