Ketua Polis negeri, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, pihaknya mengakui Kelantan tidak sunyi dari elemen perjudian namun tindakan susulan juga telah diambil bagi menangani kegiatan berkenaan.

Beliau berkata, sejak Januari hingga semalam, sebanyak 85 serbuan telah dilakukan di seluruh negeri terhadap premis-premis yang disyaki menjalankan kegiatan itu.

“Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 82 daripadanya membawa kejayaan dengan tangkapan seramai 88 individu berumur antara 30-an dan 40-an.

“Kebanyakan pusat perjudian ini yang menjual nombor ekor beroperasi di rumah-rumah kedai yang berselindung di sebalik perniagaan yang dilakukan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Kelantan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Semalam, sebuah blog mendakwa tiada sebarang tindakan diambil terhadap dua premis perjudian haram kecil-kecilan di Kuala Krai walaupun perkara itu telah diadukan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Dalam pada itu, Hasanuddin berkata, kegiatan perjudian berkenaan kebanyakkannya membabitkan judi nombor ekor selain judi secara dalam talian.

“Judi secara dalam talian ini mungkin agak sukar dikesan, namun kerjasama dari orang awam yang memberi maklumat kepada pihak berkuasa telah banyak membantu kita,” katanya. - UTUSAN ONLINE