Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Ali Tamby berkata, tiada isu atau elemen culik seperti yang didakwa setakat ini.

"Walau bagaimanapun pihak polis ada menerima laporan polis semalam yang dibuat oleh pihak sekolah tetapi ia masih dalam siasatan," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Mesej yang tular di laman sosial, antara lain mendakwa satu cubaan culik telah berlaku membabitkan lima murid di luar pagar hadapan sebuah sekolah rendah di sini oleh lelaki bertopeng yang menaiki van putih, pada Jumaat lalu, kira-kira pukul 4 petang.

Mesej itu juga mendakwa terdapat seorang murid perempuan kelihatan berada dalam keadaan terbaring dalam van tersebut.

Sehubungan itu, satu surat larangan kepada ibu bapa untuk masuk ke kawasan sekolah berkenaan tanpa urusan, turut tersebar ekoran insiden cubaan culik yang didakwa berlaku. - UTUSAN ONLINE