Valentino, 29, ditemukan maut akibat ditembak dari arah belakang di Balai Polis Pinggiran USJ, Subang Jaya, pada Ogos 2017 dan pistol berserta dua kelopak peluru yang digunakan mendiang semasa bertugas pada hari kejadian juga didapati hilang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, walaupun tiada petunjuk baharu tetapi kes itu masih dalam siasatan dan diklasifikasikan sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Kita tidak pernah tutup kes ini, ia masih dalam siasatan di bawah 302 Kanun Keseksaan tetapi kes ini agak sukar kerana tiada sebarang petunjuk dan balai polis komuniti ditempat mendiang ditemukan mati juga tidak mempunyai sistem kamera litar tertutup (CCTV).

“Justeru itu, polis mengalu-alukan sebarang maklumat daripada pihak awam yang dapat membantu kami menyiasat kes ini,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.

Kes Valentino kembali menjadi perhatian selepas bapa mendiang, Mesa Anak Ugom, 54, meminta pihak berkuasa meleraikan ‘misteri’ pembunuhan anaknya itu dan seterusnya mengenal pasti pihak bertanggungjawab. -UTUSAN ONLINE