Komander PPM Wilayah 4 Sabah ACP Mohamad Pajeri Ali berkata cubaan seludup itu dikesan berpandukan maklumat Unit Risikan Marin (URM) sebelum serbuan dan pemeriksaan dilakukan ke atas dua van jenis Ford dan Nissan yang diletakkan di kawasan parkir kereta Pasar Ikan Tawau antara pukul 5 hingga 9 pagi tadi.

“Pemeriksaan di van Ford menemukan 16 tong gas jenama Petronas berada di dalam ruang belakang sementara lapan tong gas jenama Petronas dan Mygaz ditemukan di dalam van Nissan.

“Kedua-dua pemilik kenderaan berumur 49 dan 31 tahun mengaku mahu membawa barang kawalan tersebut ke negara jiran dan gagal menunjukkan surat Pembelian Barang Kawalan Berjadual dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkaitan barang yang dibawa, sekali gus suspek ditahan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohamad Pajeri berkata kedua-dua suspek dan tong gas bernilai RM27,600 yang dirampas dibawa ke pangkalan Markas Operasi Pasukan Polis Marin Tawau untuk tindakan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1967. - BERNAMA