Dalam operasi kira-kira pukul 11.30 malam itu, sebanyak 10 lelaki dan seorang wanita berumur antara 20 hingga 54 tahun yang terdiri daripada kaki judi, pekerja premis dan penganjur ditahan pihak berkuasa.

Ketua Polis negeri, Datuk Abd. Jalil Hassan berkata, pi­haknya turut merampas wang tunai berjumlah RM47,103 selain 52 ke­ping kad daun terup dan cip pertaruhan masing-masing ber­nilai RM200 dan RM300 setiap satu.

“Siasatan awal mendapati mini kasino tersebut beroperasi sejak enam bulan lalu dan tidak mempunyai kebenaran menjalankan aktiviti berkenaan,” katanya ketika ditemui pada majlis penutup Pertandingan Menembak Ke­tua-ketua Jabatan dan Agensi Negeri 2018 di Ibu pejabat Polis Kontinjen Melaka (IPK) di sini, hari ini.

Pertandingan itu turut di­serikan dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob dan Ke­tua Menteri, Datuk Seri Idris Haron.

Jelas Abd. Jalil, modus ope­randi pusat tersebut yang menjadikan premis hiburan sebagai mini kasino, adalah yang pertama dikesan pihak­nya di Melaka setakat ini.

“Semua yang ditahan di­bawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di sini untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 7(1) dan Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1954,” katanya.

Sementara itu tambah beliau, pihaknya turut menahan 15 wanita warga asing yang bekerja sebagai pelayan dan dipercayai turut menawarkan khidmat seks kepada pelanggan dalam operasi sama.

Katanya, semua yang ditahan terdiri daripada 10 wanita warga Vietnam, tiga warga China dan masing seorang warga Laos dan Thailand berumur antara 20 hingga 25 tahun.

“Pemeriksaan awal mendapati wanita warga asing itu mengenakan bayaran RM50 hingga RM100 bagi setiap pe­langgan,” jelasnya.