Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya menerima maklumat pengesahan itu semalam dan bagaimana ia diperoleh akan dirahsiakan bagi melindungi saksi yang terlibat.

“Mayat yang sebelum ini dikenali sebagai Kim Chol disahkan sebagai Kim Jong-nam dan siasatan polis terhadap mayat tersebut telah selesai.

“Selepas ini, mayat akan dise­rahkan kepada Kementerian Kesihatan untuk tindakan lanjut dan tiada sebarang kaitan lagi dengan PDRM,” katanya selepas menutup Projek Rintis Balai Polis Moden Kontinjen Kuala Lumpur di Balai Polis TTDI, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, PDRM telah mengikut semua prosedur undang-undang berhu­bung kes tersebut dan kini terpulang kepada Kementerian Kesihatan dan Kementerian Luar untuk proses serahan mayat serta tindakan selanjutnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan pihaknya belum menerima laporan penuh keputusan ujian toksikologi dan tidak menolak kemungkinan bakal diperoleh daripada Jabatan Kimia minggu hadapan.

“Punca kematian masih lagi racun VX, namun untuk mengetahui motif ia dilakukan kita perlu de­ngar perbicaraan di mahkamah.

“Kita juga tidak akan katakan mana-mana suspek mempunyai kaitan dengan kegiatan perisik, anda boleh katakan apa sahaja, tapi PDRM akan teruskan siasatan dengan fakta yang ada,” ujarnya.