Noor Rashid Ibrahim

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, permohonan tersebut dikemukakan selepas proses bedah siasat mendapati kematian kanak-kanak itu berpunca daripada Leptospirosis (kencing tikus) dan bukannya dipukul di kaki seperti dakwaan sebelum ini.

“Setelah mengambil kira keputusan bedah siasat, sudah semestinya kita tidak dapat mendakwa suspek mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Kita akan melengkapkan kertas siasatan baharu dalam minggu ini juga sebelum merujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dengan pendakwaan baharu,” katanya kepada pemberita dalam Majlis Jamuan Aidilfitri Cawangan Khas di Bukit Aman di sini hari ini.

Tambah Noor Rashid, pi­hak­nya akan memastikan kes tersebut dibawa ke Mahkamah Majistret dalam masa terdekat dan mencadangkan inkues dijalankan.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah mengesahkan kematian Mohd Thaqif adalah di­sebabkan kencing tikus dan bukannya trauma atau kece­deraan seperti yang ditularkan.

Dalam kenyataan itu, dimaklumkan penyebab kematian adalah Leptospirosis (kencing tikus) dan dirumitkan dengan keadaan kulit nekrosis dan pembentukan bekuan darah mikro (microthrombi) di seluruh saluran darah yang mengakibatkan perubahan warna kulit dan seterusnya melibatkan kegagalan organ untuk berfungsi.

Media sebelum ini melaporkan, Mohamad Thaqif Amin dimasukkan ke HSI pada 19 April lalu selepas dilapor mengalami kecederaan pada bahagian kaki dipercayai akibat dipukul pembantu warden madrasah tahfiz.

Selepas kedua-dua kakinya dipotong pada 22 April lalu, tangan kanan Mohamad Thaqif Amin pula dijangkiti kuman akibat darah beku dan dijadualkan dipotong dari jari hingga bawah siku sehinggalah kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia pada 26 April lalu.