MOHD. KHALIL KADER MOHD.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. ber­kata, orang ramai diminta supaya ti­dak mudah mem­percayai me­sej tersebut, sebaliknya perlu menyemak kesahihan maklumat dan berita yang disebarkan dalam media sosial terlebih dahulu.

“Kira-kira pu­kul 10 pagi se­malam, Ibu peja­bat Polis Daerah (IPD) Pontian telah menerima maklumat berhubung keha­diran sejumlah besar pelanggan di pasar raya Econsave ekoran tersebar mesej ko­nonnya Tunku Mahkota Johor akan hadir memberi bantuan sebanyak RM200 bagi membeli keperluan harian di situ.

“Hasil siasatan mendapati mesej tersebut adalah palsu. Penyebaran mesej seumpama itu juga dikesan di beberapa lokasi lain di negeri ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Khalil berkata, penyebaran berita, mesej atau maklumat palsu boleh disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak le­bih setahun atau kedua-dua­nya, jika sabit kesalahan.

Menurutnya, sia­satan juga bo­leh dijalankan di bawah Seksyen 4 Akta Antiberita Tidak Benar 2018 yang memperuntukkan hukuman denda tidak me­lebihi RM500,000 atau penjara tidak lebih enam tahun atau kedua-dua­nya sekali, jika sabit kesalahan.

“Polis Johor tidak akan ber­kompromi dengan individu, pengendali media sosial atau portal berita yang menulis dan mengeluarkan sebarang artikel atau kenyataan palsu, menyakitkan hati, menjelikkan atau menyentuh sensitiviti mana-mana pihak.

“Tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang akan diambil terhadap individu yang didapati menyalahgunakan media sosial dan pendakwaan mengikut undang-undang akan dikenakan terhadap individu ini,” katanya.

Kelmarin, pusat beli-belah AEON Mall Tebrau City, di sini diserbu pelanggan apabila Tunku Ismail membuat kejutan dengan membayar kesemua barangan yang dibeli pelanggan bahagian pasar raya berkenaan.