Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk A.Thaiveegan berkata, ketiga-tiga lelaki berusia 30-an itu dipercayai melarikan diri ke Australia dan usaha mengesan mereka sedang giat dijalankan dengan mendapatkan kerjasama daripada polis di negara itu.

Menurutnya, kerugian sebenar sindiket pelaburan itu dianggarkan melebihi RM1 juta sekiranya lebih ramai mangsa tampil membuat laporan polis berkaitan skim yang menjanjikan pulangan sebanyak 1 peratus sehari atau 30 peratus sebulan daripada wang dilaburkan mangsa.

"Setakat ini hanya 10 mangsa penipuan itu yang tampil membuat laporan polis dengan kerugian yang dilaporkan sebanyak RM700,000 namun kita yakin jumlah itu lebih dari itu.

"Polis telah kenal pasti suspek yang dipercayai dalam sindiket ini dan mereka mungkin berada di Australia jadi kita telah mohon bantuan daripada pihak berkuasa negara itu," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke ibu pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara, di sini hari ini.

Tambah Thaiveegan, seorang lelaki dan dua wanita berusia 40 hingga 48 tahun yang ditahan pada Rabu telah disambung reman tiga hari lagi membantu siasatan kes berkenaan. - UTUSAN ONLINE