Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ruslan Khalid berkata, pihaknya menerima aduan daripada mangsa berusia 31 tahun sehari selepas kejadian.

“Mangsa merupakan juruwang di situ dan kejadian dikatakan berpunca daripada keengganannya membuka palang selepas suspek dikatakan tidak membayar parking sebanyak RM3.

“Kejadian berlaku kira-kira pukul 9.20 pagi dan mangsa hanya mengalami sengal-sengal di lengan namun kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan ringan kepada mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, suspek telah dikenal pasti dan siasatan masih dijalankan sebelum kes dirujuk kepada pihak pendakwa raya.

Terdahulu, Utusan Online melaporkan video menunjukkan seorang lelaki yang didakwa bergelar Datuk memukul pekerja tempat letak kenderaan di sebuah hotel lima bintang tular sejak semalam di media sosial dan aplikasi WhatsApp.

Dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 1 minit 18 saat itu, kelihatan pekerja tempat letak kenderaan hotel tersebut sedang duduk memerhatikan komputer di pejabatnya sebelum lelaki yang didakwa bergelar Datuk datang dalam keadaan marah serta mencampakkan ‘walkie-talkie’ ke arah mangsa.

Lelaki tersebut kemudian masuk ke dalam pejabat dan memukul mangsa beberapa kali sambil memarahi mangsa.-UTUSAN ONLINE