Dalam serbuan kira-kira pukul 8 malam itu, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah dan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda berjaya merampas pelbagai peralatan yang digunakan untuk menjalankan kegiatan haram tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner, Mohd. Nashir Ya berkata, pihaknya berjaya merampas 22 unit telefon bimbit, dua komputer riba, tiga set komputer, sebuah modem dan fail syarikat mengandungi dokumen disyaki transaksi pertaruhan.

“Dalam serbuan itu, kita berjaya menahan lima lelaki berusia antara 17 hingga awal 30-an yang disyaki menjalankan perniagaan pertaruhan haram sejak Julai lalu.

“Nilai pertaruhan yang dijalankan sindiket ini sejak Julai lalu dianggarkan sebanyak RM2,000 sehari dengan jumlah keseluruhan (pertaruhan) kira-kira RM120,000,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Mohd Nashir, sindiket tersebut aktif mengiklankan kegiatan judi dalam talian yang dijalankan mereka melalui WeChat. Jika terdapat pelanggan yang berminat, mereka akan diberi empat pautan laman web seperti SCR888, GW99, ROLLEX11 dan 3WIN8.

“Setelah pelanggan memuat turun pautan yang dipilih, sindiket ini akan memberi akaun bank untuk transaksi bayaran sebelum menyerahkan ID dan kata laluan bagi (pelanggan) memulakan perjudian,” ujarnya.

Kata Mohd. Nashir, hasil siasatan juga mendapati sindiket menyasarkan pelanggan siber di sekitar Ipoh, Perak; Kuala Lumpur dan Johor Bahru, Johor.

Tambahnya, semua suspek ditahan reman bermula semalam hingga Ahad ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Pertaruhan 1953. - UTUSAN ONLINE