Terbaharu, polis Kedah berjaya mengesan taktik baharu jenayah itu yang dipercayai cuba memperdaya mangsa dengan mendakwa kononnya dia terlibat dalam kes dadah dan menggelapkan wang berjumlah RM2.3 juta.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Chan Teck Paing berkata, berdasarkan maklumat yang diterimanya penjenayah itu juga licik apabila mengguna surat rasmi dengan logo PDRM dan kepala surat daripada Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.

“Surat yang menggunakan lambang Polis Diraja Malaysia itu mendakwa mangsa terlibat dalam kes dadah dan menggelapkan wang RM2.3 juta serta meminta mangsa bekerjasama dengan pihak polis dalam masa dua jam.

“Surat itu turut mendakwa akan mengeluarkan waran tangkap kepada mangsa selain akan membekukan akaun bank dalam masa dua tahun enam bulan serta direman selama 45 hari,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Ibu pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini hari ini.

Menurutnya, maklumat yang tertera pada surat berkenaan adalah bercanggah dengan prosedur sebenar walaupun mempunyai tandatangan kononnya milik Ketua Polis Kedah selain menggunakan cop Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

“Bidang kuasa polis menetap hanya boleh menahan seseorang individu selama 24 jam sahaja dan

jika mahu menahan lebih dari itu, kita perlu mendapatkan perintah mahkamah mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah yang mana tempoh maksimum selama 14 hari sahaja,” ujarnya.

Justeru, Teck Paing berkata,orang ramai yang mendapat SMS dan panggilan mencurigakan dinasihatkan agar segera menghubungi atau pergi ke balai polis berdekatan bagi melaporkan perkara berkenaan.

Beliau turut menyeru agar mangsa berkenaan tampil membuat laporan supaya siasatan lanjut dapat dilakukan bagi menjejaki penjenayah terlibat. - UTUSAN ONLINE