Ketua Polis negeri, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, tulang itu dijumpai berselerakan di bawah sebatang pokok.

Katanya, serpihan tulang itu dipercayai adalah mayat yang ‘dikebumikan’ secara adat atas pokok terbabit selepas kematian berlaku.

“Pasukan kita telah menjumpai tulang berkenaan pada pukul 4.30 petang ini.

“Operasi mencari mayat itu bermula pada pukul 2.30 petang ini dan kubur pertama dijumpai dua jam kemudian sebelum kita menanda kubur itu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Hasanuddin berkata, identiti dan jantina mangsa itu masih tidak diketahui kerana belum diserahkan kepada pihak forensik.

Katanya, operasi pencarian dilakukan tiga pasukan melibatkan 34 anggota yang turut disertai oleh Orang Asli dan pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

“Lokasi penemuan tulang mangsa pertama itu hanya jarak tujuh kilometer dari kawasan ini.

“Operasi ditangguhkan pada pukul 5.30 petang ini dan akan disambung semula 8.30 pagi esok,” katanya kepada pemberita di Aring 10, di sini, petang ini.

Dalam perkembangan lain, Hasanuddin berkata, kawasan Kampung Kuala Koh telah diisytiharkan sebagai kawasan zon merah bermula pagi ini.

Katanya, orang awam dilarang memasuki kawasan itu untuk keselamatan orang ramai bagi mengelak dijangkiti virus. - UTUSAN ONLINE