Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, kira-kira pukul 12.20 tengah malam hari tersebut, polis telah memujuk dan memberi nasihat kepada kumpulan mahasiswa terdiri empat lelaki dan tiga wanita untuk bersurai secara baik.

Menurut beliau, bagaimanapun seorang lelaki berumur 23 tahun dan seorang wanita berumur 24 tahun enggan beredar.

Tambah beliau, kedua-dua mahasiswa itu masih berada berdekatan dengan khemah yang didirikan dalam kawasan pagar bangunan Kementerian Pendidikan dan telah beberapa kali diberi nasihat serta arahan oleh pihak polis.

“Oleh itu, mereka berdua dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya untuk dirakam percakapan dan lain-lain tindakan siasatan di bawah kesalahan Seksyen 447 Kanun Keseksaan.

“Kedua-dua mahasiswa tersebut dibebaskan kira-kira pukul 6.30 pagi hari sama. Oleh itu saya meminta orang ramai tidak menimbulkan sebarang spekulasi serta menularkan perkara tidak benar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mazlan memberitahu, perhimpunan yang berlangsung melebihi 15 jam dari pukul 9.10 minit Jumaat tersebut diadakan untuk berjumpa dengan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berhubung isu pelantikannya sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Jumaat lalu, sekumpulan mahasiswa datang ke bangunan Kementerian Pendidikan untuk bertemu menterinya, Dr. Maszlee Malik bagi mendesak beliau meletak jawatan sebagai Menteri Pendidikan atau Presiden UIAM.

Kumpulan mahasiswa itu menganggap pelantikan Maszlee bertentangan dengan manifesto Pakatan Harapan (PH) sendiri yang menjanjikan autonomi serta membebaskan universiti daripada campur tangan politik. - UTUSAN ONLINE