Dalam Op Tutup di sekitar ibu negara yang digerakkan selama tiga jam bermula pukul 10 malam tadi, sebanyak 970 motosikal dan 138 kenderaan lain diperiksa.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Superintenden Ahmad Adnan Basri berkata, menerusi operasi tersebut sebanyak 327 saman dikeluarkan terhadap penunggang motosikal dan pemandu kereta atas pelbagai kesalahan termasuk membanteras lumba haram.
Jelasnya, operasi bersepadu itu disertai 100 pegawai dan anggota JSPT Kuala Lumpur  Jabatan Siasatan Jenayah dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
“Kita menahan tiga individu atas kesalahan dadah dan alkohol.
“Selain itu, turut ditahan ialah seorang lelaki yang membawa tiga wanita warga Thailand dalam kereta dipandunya. Mereka diba­wa ke IPD Dang Wangi untuk dokumentasi dan semakan,” kata­nya di sini hari ini.
Di PULAU PINANG, kira-kira 119 mat rempit ditahan dalam operasi bersepadu polis daerah Timur Laut di sini malam tadi.
Dalam operasi kira-kira pukul 12 tengah malam tadi, kesemua mereka ditahan ketika cuba memasuki kawasan Padang Kota, Georgetown di sini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, hasil pemeriksaan, pihaknya menahan dua daripada mat rempit berkenaan berhubung dua laporan polis di daerah ini serta di Teluk Intan, Perak.
Tambahnya, sebanyak 17 buah daripada 97 buah motosikal yang diperiksa disita atas pelbagai ke­salahan di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Sebanyak 74 saman turut dikeluarkan manakala keputusan ujian air kencing semua yang ditahan menunjukkan adalah negatif,” katanya.
Di BATU PAHAT, polis da­erah ini menyita 23 motosikal dan tiga buah kereta pelbagai model dalam operasi di sini, malam tadi.
Operasi bermula pukul 11 malam dengan menyasarkan samseng jalanan sempena sambutan ambang tahun baharu itu turut mengeluarkan 47 saman atas pelbagai kesalahan.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, operasi yang berakhir kira-kira lima jam kemudian itu memberi tumpuan di lokasi di sekitar bandar, Jalan Kluang dan Pura Kencana.
“Pelbagai kesalahan dikesan, antaranya tidak memiliki lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, ubah suai dan lain-lain,” katanya dalam kenyataan di sini, sebentar tadi,” ujarnya.