POLIS Kedah menahan empat lelaki yang melakukan cubaan rompakan bersenjata dan memaksa nelayan tempatan untuk masuk ke negara jiran di perairan Pulau Langgun, Langkawi, Kedah, semalam.

Ketua Polis Kedah, Datuk Zainal Abidin Kasim berkata, terdahulu pihaknya berjaya menyelamatkan tujuh nelayan lain yang turut cuba dibawa ke sana oleh kumpulan perompak sama.

“Kira-kira pukul 8.33 pagi, pihak kami menerima maklumat daripada pemilik bot di Langkawi yang memaklumkan terdapat sekumpulan nelayan didatangi 12 lelaki bersenjata dan menaiki dua buah bot yang mengarahkan mereka supaya masuk ke negara jiran.

“Pihak kami kemudian meng­hubungi mangsa dan mengatur gerak para pegawai serta anggota ke lokasi kejadian,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mengulas lanjut menurut beliau, dua bot Polis Marin kemudiannya menuju ke lokasi kejadian.

“Setibanya di sana, pihak kami dapati terdapat dua sampan ekor panjang sedang membawa tawanan bot dan nelayan tempatan ke perairan negara jiran.

“Menyedari kehadiran pihak polis, mereka cuba memecut namun sebuah daripadanya yang membawa tujuh nelayan tempatan berjaya dipintas setelah 20 minit dikejar,” katanya.

Beliau menambah, pihaknya menemukan tiga pucuk pistol dipercayai milik suspek dalam bot tersebut namun tiada tembakan dilepaskan oleh mana-mana pihak.

“Kesemua suspek itu kemudian dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah Langkawi untuk siasatan lanjut,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintenden Mohd. Iqbal Ibrahim ketika dihubungi memaklumkan, polis mendapatkan kerjasama daripada pihak berkuasa Thailand untuk mencari empat lagi mangsa yang dibawa lari ke negara itu.

“Tidak berapa lama selepas itu, kami dimaklumkan kesemua mereka berjaya diselamatkan. Usaha membawa mereka pulang sedang dijalankan sementara rundingan masih berlangsung mengenai tindakan lanjut terhadap suspek yang sudah berada di Thailand,” katanya.