Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Aswandy Anis berkata, pasukan tersebut sedang melakukan rondaan melihat kelibat mereka dalam keadaan mencurigakan dengan cuba membuka sebuah kenderaan kira-kira pukul 1.40 pagi.

Katanya, menyedari kehadiran polis, mereka cuba melarikan diri namun seorang daripadanya berjaya ditangkap di hadapan sebuah stesen minyak.

“Pemeriksaan tubuh badan suspek tiada menjumpai apa-apa barang salah namun dalam beg galas belakang dipakainya menemukan peralatan untuk pecah rumah dan curi kenderaan.

“Siasatan awal mendapati suspek warga Indonesia berusia 16 tahun mengaku telah melakukan sebanyak tujuh kes pecah rumah dan samun di Serian,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambahnya, usaha mengesan kedua-dua suspek yang masih bebas sedang giat dijalankan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang mana jika sabit kesalahan boleh dipenjara 20 tahun dan denda serta sebatan,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE