Wanita itu dilihat berlegar-legar di kawasan perkarangan Ins­titut Perubatan Forensik Negara (IPFN) dan anggota keselamatan HKL yang melihatnya dalam keadaan mencurigakan telah membuat laporan polis pada 9.56 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Mohd. Sukri Kaman dalam satu kenyataan berkata, laporan mengenai wanita itu dibuat bersekali dengan lelaki warga Korea Selatan yang turut berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan itu.

“Polis telah menahan dan merakam percakapan lelaki itu yang merupakan wartawan Korea Broadcasting System (KBS) dan mempunyai pas media sah,” katanya.

Lelaki itu dilepaskan setelah percakapannya dirakam manakala polis masih mengesan wanita berkenaan, bagi membantu siasatan, katanya dalam kenyataan itu.

Jurukamera KBS itu ditahan oleh Ketua Jabatan Siasatan dan Jenayah Daerah Dang Wangi, DSP M. Gunalan selepas empat kenderaan pacuan empat roda polis bersama sepasukan Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (Stafoc) tiba di situ pada pukul 1.40 pagi.

Mohd. Sukri berkata, ekoran kejadian itu, kawalan keselamatan di IPFN dipertingkatkan dengan menempatkan anggota Stafoc.

Puluhan petugas media tempatan dan antarabangsa berkumpul di IPFN sejak minggu lepas bagi membuat liputan kes pembunuhan Kim Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un.

Jong-nam dilaporkan berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) sementara menunggu penerbangannya ke Macau apabila diserang dua wanita dengan mukanya diserkup kain dipercayai mengandungi cecair beracun pada 13 Februari lepas. – BERNAMA