Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Noor Halim Nordin berkata, Pok We atau nama sebenarnya Ahmad Syazwan Ayub, 22, dikehendaki bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik mana-mana individu keluar daripada sempadan Malaysia.

“Suspek yang digelar Pok We ini merupakan suspek utama kehilangan Mohamad Aiman Zafri, 25, yang dilaporkan di culik di depan sebuah kedai runcit di Taman Maju pada 5 Julai 2017.

“Siasatan lanjut menunjukkan suspek utama bersama empat lelaki membawa mangsa ke Golok. Mereka gagal dikesan sehingga ke hari ini dan polis menerima beberapa laporan berhubung kes ini,” katanya ketika ditemui di sini  hari ini.

Noor Halim berkata, polis menerima laporan kehilangan mangsa pada 6 Julai 2017 sebelum satu siasatan digerakkan pasukan Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu (IPD) dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan (IPK) bagi mengesan suspek.

“Hasil siasatan kita juga telah menahan empat lelaki dan seorang wanita berusia 21 hingga 26 tahun yang merupakan kenalan kepada mangsa. Empat lelaki itu rakan kepada mangsa telah dibebaskan dengan jaminan polis.

“Wanita yang merupakan isteri kepada Pok We itu telah disabitkan dengan kesalahan mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan kerana membenarkan orang lain menggunakan identitinya,” katanya.

Tambah beliau, wanita itu didapati membenarkan pihak lain menggunakan akaun banknya sebagai medium penerimaan wang tebusan sebanyak RM2,000.

“Pasukan siasatan juga mendapati suspek utama dan mangsa mengenali rapat antara satu sama lain. Kita ingin tegaskan bahawa kes ini tidak pernah ditutup dan siasatan lanjut masih diteruskan.

“Polis juga turut meminta bantuan Interpol bagi mengesan Pok We yang difahamkan kini berada di Thailand. Kami percaya dengan tertangkapnya suspek utama ini akan merungkai motif utama kejadian,” katanya. - UTUSAN ONLINE