Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Deputi Superintenden Kamal Ariffin Aman Shah, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 4 pagi ini berdasarkan kepada penelitian rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang terdapat pada premis berkenaan.

Bagaimanapun katanya, kejadian itu mula disedari oleh seorang pekerja stesen minyak terbabit yang melihat cermin di bahagian kaunter premis itu pecah semasa dia ingin memulakan perniagaan kira-kira pukul 6.20 pagi tadi.

"Hasil daripada maklumat daripada pekerja stesen minyak terbabit, kita mendapati kedua-dua suspek turut melarikan pelbagai jenis kad tambah nilai prabayar telefon berjumlah RM1,200, wang tunai berjumlah RM400 serta pelbagai jenis rokok yang dianggarkan bernilai RM500.

"Nilai kerugian keseluruhan dianggarkan sebanyak RM2,100," katanya yang turut memaklumkan kes itu disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah masuk premis dan mencuri.

Pada masa sama, Kamal Ariffin memberitahu kedua-dua suspek dianggarkan berusia di antara 20an hingga 30an itu memakai topi keledar serta menaiki motosikal jenis Honda EX-5 berwarna hitam ke premis tersebut sebelum menggunakan batang besi dipercayai cangkul untuk memecahkan cermin kaunter.

Semasa kejadian katanya, premis itu telah ditutup dan tidak mempunyai pengawal keselamatan.

"Usaha-usaha mengesan suspek masih lagi dijalankan," ujarnya. - UTUSAN ONLINE