Kejadian berlaku pukul 10.30 pagi ketika Mohammad Azrin Mohd. Danial, 29, dari Felda Bukit Jalor, Air Kuning Selatan di Gemencheh dipanggil sebanyak dua kali oleh jurubahasa mahkamah untuk dituduh di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan juga waran tangkap Seksyen 12(2) akta sama.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Anuar Bakri Abdul Salam berkata, anggota polis terus bergegas ke lokap yang menempatkan tertuduh namun mendapati dia telah tiada di situ.

“Ekoran kejadian itu satu gerakan mengesan suspek secara besar-besaran telah dilancarkan oleh polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau dan IPD Tampin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, lelaki itu telah ditangkap polis di rumahnya pada Ahad lalu.

Anuar Bakri berkata, orang awam yang mempunyai maklumat mengenai suspek boleh menghubungi IPD Rembau di talian 06-6851999 dan Pegawai Penyiasat Inspektor Harizan Misron di talian 012-7425209.

Tambahnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 224 dan Seksyen 223 Kanun Keseksaan. - UTUSAN ONLINE