Dalam kejadian itu, Norajlan Norsait, 32, meninggal dunia di Hospital Tawau Selasa lalu selepas menerima rawatan selama dua hari akibat kecederaan di kepala.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, pada hari kejadian, mangsa bersama seorang lagi rakannya baru sahaja keluar dari pusat hiburan berkenaan apabila dua suspek tiba-tiba muncul dan membelasah rakannya.

“Mangsa cuba meleraikan pergaduhan itu, namun seorang suspek telah menumbuk mukanya. 

"Berikutan itu, mangsa sempat melarikan diri ke arah jalan raya utama di Jalan Kuhara tetapi dipercayai diekori oleh dua lagi suspek kemudian dipukul hingga cedera parah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Fadil berkata, pihaknya kini menggiatkan operasi memburu empat suspek termasuk dua dipercayai pendatang asing tanpa izin (PATI) yang masih bebas dan mempunyai kaitan dengan kejadian itu.

Katanya kesemua suspek dikenali sebagai  Herman Langguru, 33; Fadilah Abdul Latif, 34; Ajai, 30, dan Harman, 20-an.

Beliau menambah, siasatan awal mendapati motif kejadian berpunca akibat perselisihan faham dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - Utusan Online