Ketua Polis daerah, Superintenden Abd. Fatah Abd. Rahman berkata, dalam kejadian pada pukul 6.55 petang itu, dua lelaki memakai topi keledar berpenutup penuh masuk ke kedai berkenaan sambil mengacu pisau kepada seorang wanita.

Katanya, ketika kejadian, suami wanita terbabit yang merupakan pemilik kedai runcit berkenaan sedang berada di dalam tandas.

"Suspek yang memakai topi keledar berpenutup penuh telah mengambil wang sebanyak RM1,500 dari dalam laci dan 10 kotak rokok jenama Winston.

"Kejadian berlaku dalam masa kira-kira 30 saat dan wanita itu tidak dapat mengenal pasti wajah kedua-dua suspek berkenaan," katanya.

Menurut beliau, perbuatan suspek dirakam menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan kejadian itu hanya disedari suami wanita terbabit setelah keluar dari tandas.

"Op Visor dijalankan bagi mengesan kedua-dua suspek berkenaan. Siasatan kes dibuat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," katanya. - UTUSAN ONLINE