Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, dua lelaki berkenaan iaitu Qhyirull Anwar Ayub, 29, dari Jelapang Tambahan Heights di sini dan Mohamad Fauzi Adris, 23, dari Kepala Batas, Pulau Pinang.

Menurutnya, ketika kejadian, mangsa diikat dan dipukul di dalam kereta sebelum diturunkan di Jalan Sungai Siput Selatan dekat sini.

“Mangsa yang merupakan pengumpul barang antik berusia 60an menerima panggilan daripada seorang lelaki yang mahu menjual jam tangan dan mereka berjumpa di hadapan sebuah pusat karaoke di Station 18 di sini.

“Apabila mangsa sampai pada pukul 9.15 malam, suspek yang datang menaiki kereta jenis Proton Iswara, mengarahkan mangsa masuk ke dalam kereta untuk melihat jam berkenaan.

“Namun sebaik sahaja mangsa masuk, suspek mengunci kereta dan memandu laju sebelum mangsa diikat dan dipukul,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di Balai Polis Pasir Puteh di sini hari ini.

Menurut Chang Keong, antara barang mangsa yang disamun ialah sebuah beg silang jenama Louis Vuiitton, tiga jam tangan Omega, wang tunai bernilai RM100, telefon bimbit jenis iPhone 6, rantai, cincin zamrud, cincin jed dan cincin permata. - UTUSAN ONLINE