Empat daripada suspek itu ditahan dalam serbuan pertama di sebuah rumah di Changkat Minden, Gelugor, di sini kira-kira pukul 3 pagi hari kejadian.

Ketua Polis negeri, Datuk Seri A. Thaiveegan berkata, serbuan pertama itu juga membawa kepada penemuan sebuah makmal memproses dadah yang beroperasi di rumah teres disewa sindiket tersebut di situ sejak dua bulan lalu.

Katanya, susulan serbuan tersebut, polis kemudian menyerbu dua lagi lokasi iaitu masing-masing pangsapuri di Queensbay dan Sungai Dua di sini, selain memberkas tiga lagi suspek.

Beliau berkata, polis turut merampas pelbagai jenis dadah, bahan kimia serta peralatan memproses bahan terlarang itu dalam ketiga-tiga serbuan dengan nilai keseluruhan rampasan RM534,000.

“Antara yang dirampas termasuk 3.4 kilogram (kg) dadah disyaki ekstasi, 3.5 kg syabu, 2.3 kg heroin, 1.5 kg daun ketum; 1,800 biji pil disyaki Yaba, 218 pil ekstasi serta 22 kg serbuk putih disyaki kafein selain 12 butir peluru.

“Polis percaya jika bekalan dadah yang dirampas ini terlepas ke pasaran boleh digunakan seramai 36,500 penagih dadah,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Thaiveegan berkata, beberapa barangan turut disita dalam serbuan itu termasuk barang kemas bernilai RM58,306; jam tangan (RM1,050), wang tunai (RM6,780) dan akaun bank (RM60,952.44).

Turut dirampas, katanya,  sebanyak lima buah kenderaan termasuk sebuah motosikal bernilai RM263,100 sekali gus menjadikan nilai keseluruhan sitaan sebanyak RM390,188.44.

Katanya, siasatan awal mendapati, kegiatan itu didalangi suspek berusia 58 tahun yang dipercayai mempunyai kepakaran memasak serta memproses dadah selain mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

Menurut Thaiveegan, dadah yang diproses itu juga dipercayai untuk dipasarkan ke pasaran tempatan termasuk negeri-negeri di sebelah utara tanah air.

“Kesemua suspek kini direman sehingga 7 November ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah berbahaya (ADB) 1952,” ujar beliau. - UTUSAN ONLINE