Dalam serbuan pada kira-kira pukul 6 pagi itu, sepasukan anggota daripada Pasukan Khas D9, Jabatan Siasatan Jenayah Kedah membuat serbuan di sebuah rumah di Kuala Sungai, Yan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mior Farid Al-Athrash Wahid berkata, pihaknya memerima maklumat mengenai kejadian culik dan kurung membabitkan penjenayah paling dikehendaki dalam beberapa kes jenayah kekerasan, samun, pecah rumah dan pengedaran dadah pada Isnin lalu.

Menurutnya, seramai enam lelaki termasuk suspek utama yang berusia antara 20 hingga 50-an berjaya diberkas selepas pihak polis membuat risikan ke atas rumah berkenaan.

"Kita juga berjaya menyelamatkan seorang perempuan yang menjadi mangsa culik yang dikurung secara salah di sebuah stor milik suspek utama yang berusia dalam lingkungan 50-an.

"Temu bual awal ke atas mangsa mendapati dia diculik dan dikurung sejak seminggu lalu malah turut dirogol oleh suspek utama. Pihak polis masih menyiasat lokasi dan bagaimana mangsa diculik selepas remaja itu membuat laporan polis," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Mior Farid Al-Atrash memberitahu, suspek utama mempunyai 33 rekod lampau serta masih dikehendaki bagi kes samun, kurungan salah, kes dadah, memiliki senjata berbahaya dan ugutan jenayah.

"Selain itu, kita juga merampas barang-barang disyaki barang samun dan curi.

"Antaranya dua buah kenderaan jenis Proton Perdana dan BMW, dua buah motosikal berkuasa tinggi, pelbagai jenis topi keledar, telefon bimbit, peralatan televisyen dan monitor serta beberapa unit pembesar suara," ujarnya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 342 dan 376 Kanun Keseksaan.

Difahamkan mangsa membuat laporan polis. - UTUSAN ONLINE