Ketua Polis Kedah, Datuk Asri Yusoff memberitahu, kedua-dua lelaki tersebut masing-masing berusia 41 dan 27 tahun ditahan setelah risikan dijalankan sejak beberapa bulan lepas berkaitan pengedaran dadah.

Katanya, operasi dijalankan kira-kira pukul 3.15 petang itu membabitkan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah dan Pulau Pinang.

"Penahanan dilakukan selepas polis mengekori kenderaan dinaiki suspek dari Bukit Kayu Hitam diikuti intipan dibuat kira-kira empat hingga lima bulan yang lepas.

"Hasil tindakan dilakukan itu, ia membuahkan hasil apabila kedua-dua tertangkap selepas berhenti di parkir awam di situ. Semasa ditahan kedua-duanya memandu kereta jenis Naza Citra dan Perodua Alza yang dipercayai digunakan untuk mengedar dadah di kawasan utara," katanya dalam satu sidang akhbar di Ibu pejabat Polis daerah Kuala Muda, di sini hari ini.

Beliau berkata, melalui pemeriksaan rapi terhadap terhadap Naza Citra itu, polis menemukan dua guni berwarna putih di dalamnya terdapat 60 ketulan mampat disyaki ganja dengan anggaran berat 61.9 kilogram.

"Pemeriksaan terhadap kereta Perodua Alza pula, polis menemui tiga guni berwarna putih di dalamnya terdapat 100 ketulan mampat disyaki ganja dengan anggaran berat 103.6 kilogram.

"Suspek berusia 41 tahun kemudian ditahan dan keretanya juga turut disita di samping memiliki seutas jam tangan jenama Rolex serta wang tunai berjumlah RM2,723.

"Begitu juga dengan suspek berusia 27 tahun bila dikesan mempunyai rekod kesalahan lampau iaitu Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (R&P) 1983 dan ketika ditahan ada memiliki wang sebanyak RM192 sahaja. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," tambah Asri. - UTUSAN ONLINE