Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, jenis tindakan yang sedang diambil berkaitan kes tersebut bagaimanapun tidak boleh didedahkan.

"Penipuan berkaitan kemasukan orang luar ke dalam negara adalah satu kesalahan yang amat serius.

"Kita ambil maklum dengan segala kegiatan ini dan sedang mengumpul serta menganalisa semua maklumat sebelum operasi dijalankan," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penutupan Tilawah Al-Quran PDRM Peringkat Kebangsaan 2018 di Maktab PDRM, di sini hari ini.

Sebuah akhbar tempatan sebelum ini melaporkan terdapat ketirisan kemudahan melibatkan pelancong warga China menerusi Electronic Travel Resistration & Informatian (eNTRI) oleh sebuah syarikat tempatan.

Dalam pada itu,mengulas mengenai majlis tilawah ini, beliau menggalakkan penyertaan lebib ramai anggota dan pegawai polis untuk menyertai tilawah Al-Quran yang dianjurkan setiap tahun.

"Majlis ini bukan sahaja dapat mengukuhkan hubungan sesama anggota dan pegawai polis tetapi juga dapat menghayati Al-Quran bagi yang beragama Islam," jelasnya.

Pada majlis tersebut, Ketua Balai Polis Sentral, Ibu pejabat Polis Daerah Ipoh, Perak, Asistan Superintenden Mohd. Shahran Termizi menjadi juara qari manakala anggota bahagian pengurusan Ibu pejabat Polis Kontinjen Perlis, Koperal Nor Marina Ishak pula menjadi juara kategori qariah. - UTUSAN ONLINE