Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd. Isa berkata, bagaimanapun, tiada tangkapan dilakukan setakat ini.

“Siasatan lanjut masih berjalan bagi mengetahui punca sebenar bayi itu meninggal dunia, sama ada benar didera atau tidak,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, bayi lelaki berusia tujuh bulan meninggal dunia akibat pendarahan dalam kepala di rumah pengasuhnya.

Ketika kejadian, bayi tersebut dijaga pengasuhnya dan disedari ibu mangsa kira-kira pukul 12.15 tengah hari selepas menerima panggilan daripada wanita berkenaan yang memaklumkan bayi itu tidak boleh bernafas.

Apabila tiba di rumah pengasuh, ibu mangsa mendapati bayi itu tidak sedarkan diri dan tubuhnya pucat selain bawah mata kanan anaknya lebam serta hidungnya berdarah.

Wanita itu kemudian menghubungi suaminya sebelum membawa bayi mereka ke sebuah klinik swasta di Taman Melati namun doktor di situ kemudian mengarahkan bayi berkenaan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Bagaimanapun, bayi berkenaan disahkan meninggal dunia selepas beberapa minit menerima rawatan di HKL. - UTUSAN ONLINE