Peguam yang mewakili keluarga Altantuya, Ramkarpal Singh berkata, Dr. Mahathir positif terhadap perkara itu dan ia perlu dilakukan mengikut lunas undang-undang.

“Perjumpaan ini amat bermakna kerana masing-masing berharap satu penyelesaian dapat dilakukan mengenai kes ini,” katanya dalam sidang akhbar di pekarangan Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Terdahulu, Ramkarpal bersama bapa kepada Altantuya Shaariibuu, Dr. Shaariibuu Setev mengadakan pertemuan bersama Dr. Mahathir di Pejabat Perdana Menteri.

Semalam, Ramkarpal mendedahkan pihaknya mempunyai bukti baharu berhubung kes pembunuhan berprofil tinggi itu ketika mengadakan pertemuan bersama Peguam Negara, Thommy Thomas.

Altantuya yang merupakan wanita kelahiran Ulan Bator dibunuh antara pukul 10 malam, 19 Oktober dan pukul 1 pagi, 20 Oktober 2006 di antara Lot 12843 dan Lot 16736, Mukim Bukit Raja, Klang.

Dua suspek pembunuhan itu, Sirul Azhar Umar dan Azilah Hadri dikenakan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Persekutuan pada 13 Januari 2015 selepas membenarkan rayuan pendakwa raya yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan.

Pada 23 Ogos 2013, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan sebulat suara telah melepas dan membebaskan Sirul Azhar (tertuduh kedua) dan bekas anggota unit selam tempur UTK, Azilah Hadri (tertuduh pertama) selepas berpuas hati bahawa tidak selamat untuk mengekalkan sabitan dan hukuman gantung yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 9 April 2009. - UTUSAN ONLINE