Pengerusinya, Mohd. Asna Amin berkata, beliau telah dipanggil polis untuk memberi keterangan dan menolak dakwaan bahawa beliau atau pihak masjid meletakkan racun di dalam makanan haiwan sehingga menyebabkan anjing yang memakannya mati.

"Gambar yang tular menunjukkan makanan didakwa mengandungi racun itu adalah gambar lama yang diambil pada tahun 2018.

“Mungkin ada penduduk yang bertindak sendiri letakkan racun kerana marah anjing sering masuk ke kawasan masjid.

"Kita cuba selidik dengan penduduk tetapi masing-masing diamkan diri. Ia sudah jadi kes polis dan penduduk dinasihatkan tidak bercakap mengenai isu ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di pejabat Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Belia dan Sukan negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi, Mohamad Taufek Abd. Ghani, di sini hari ini.

Semalam polis mengesahkan telah menerima laporan daripada seorang penduduk berhubung kematian tiga ekor anjing dipercayai diracun di Taman Lavender Heights antara 1 hingga 4 Januari lalu.

Pelbagai pihak mengecam kejadian tersebut malah ada yang mengaitkan pihak masjid dengan kematian haiwan tersebut.

Mohd. Asna berkata, masalah anjing liar di kawasan perumahan itu telah berlaku sejak tahun 2017 dan ada anak penduduk yang cedera kerana terjatuh akibat dikejar anjing.

“Bila tanya Majlis Perbandaran Seremban (MPS), katanya bidang kuasa Jabatan Veterinar dan bila tanya Jabatan Veterinar, tolak pula kepada MPS," katanya.

Beliau memberitahu, penduduk pernah mengadukan masalah itu kepada bekas ADUN Paroi, Mohd. Ghazali Wahid dan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin semasa mereka menghadiri program masjid itu, namun masih tiada penyelesaian.

Sementara itu, Mohamad Taufek menasihatkan orang ramai supaya tidak menularkan kejadian itu dan mengaitkannya dengan isu agama dan perkauman.

Katanya, kerajaan negeri akan berusaha menangani isu anjing liar itu secepat mungkin dan sebuah pusat bagi menempatkan haiwan itu akan dibuka di Kuala Sawah dekat sini. - UTUSAN ONLINE